Memoir Last Forever
1
2
3



artikel dari surat khabar
♣ 0

aku rasa benda ni berguna so aku letak dalam dua-dua blog..Dipetik dari surat khabar berita minggu, Ahad 21 Mac 2010.(wartawan : Hazirah Che Sab)



'Serupa tapi tak sama'

Istilah psikologi beri takrifan berbeza antara anak pintar,berbakat,genius dan prodigy

Oleh Hazirah Che Sab
zeehan@bharian.com.my

 Bukan sedikit ibu bapa yang mengidamkan anak seperti Sufiah Yusof,24,yang memasuki universiti pada usia 13 tahun dan Adi Putra Abdul Ghani yang mengejutkan ramai pihak kerana kemampuan menyelessaikan masalah matematik.Tidak kurang juga yang mengidamkan anak seperti Muhammad Ahmad Zahid yang bergelar hafiz muda pada usia 13 tahun.
   Semua pasti mahukan zuriat yang pintar kerana inilah 'tiket' kepada masa depan lebih cerah.Penat lelah membesarkan mereka seakan berbaloi apabila si anak membawa pulang kejayaan.Namun,apakah mereka ini pintar,berbakat,genius atau prodigy?Jangan keliru kerana inilah takrifan sebenar keupayaan mereka berdasarkan istilah psikologi.
   Seperti kata-kata 'serupa tapi tak sama',pakar linguistik dan Pengasas PTS Publications and Distributors Sdn Bhd,Ainon Mohd,berkata masih ramai yang tidak dapat membezakan istilah sebenar ini.
   "Aspek berbakat,pintar dan genius adalah antara perkataan yang kerap digunakan untuk menggambarkan kebolehan seseorang anak kecil mengatasi usia tanpa menyedari ia sebenarnya merujuk kepada makna yang kurang tepat.
   "Genius adalah individu normal,tetapi mempunyai kebolehan menyelesaikan masalah teknikal yang sukar atau tidak dapat diselesaikan pakar lain.Contoh paling tepat menggambarkan seseorang yang dianggap genius ialah Albert Einstein dalam bidang sains fizik manakala Thomas Edison dalam bidang elektrik,"katanya yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Linguistik Universiti Malaya dan Sarjana dalam bidang sama Leeds University.
   Beliau yang pernah mengikuti kursus kedoktoran dalam bidang psikologi berkata,seseorang itu disebut genius apabila dapat menyelesaikan masalah yang tidak mampu diselesaikan mereka yang normal.Justeru Einstein dan Edison layak digelar genius disebabkan mereka berjaya menyelesaikan masalah yang gagal diselesaikan saintis dan jurutera lain.
   "Kanak-kanak yang layak digelar genius adalah kanak-kanak yang dapat menyelesaikan masalah yang gagal diselesaikan orang dewasa.Jika tidak,mereka setakat digelar berbakat atau pintar,bukan genius.Mereka yang dapat menghafal al-Quran pada usia tujuh tahun adalah berbakat,bukan genius.
   "Istilah genius tidak boleh digunakan kepada kanak-kanak kerana belum ada kanak-kanak dapat menyelesaikan masalah setaraf orang dewasa.Einstein menyelesaikan masalah teori relativiti pada usia 25 tahun,selepas lulus universiti,"katanya.
   Ainon mendakwa,disebabkan genius adalah pakar dalam sesuatu bidang,tiada kanak-kanak genius kerana anak kecil itu tidak mempunyai kepakaran ilmu.Oleh itu,baginya,tiada kanak-kanak genius dalam bidang sains,kejuruteraan,kedoktoran ataupun perfileman atau yang bergelar pakar bedah.
   Satu lagi istilah prodigy yang merujuk keupayaan kanak-kanak melakukan perkara yang hanya dapat dilakukan orang dewasa.
   "Kanak-kanak pada usia lapan tahun yang dapat mengikuti pelajaran Matematik peringkat universiti atau mencipta muzik seperti pemuzik dewasa,selayaknya digelar prodigy.Mereka hanya ada dalam dua bidang iaitu matematik dan muzik.Kanak-kanak prodigy mempunyai kepintaran orang dewasa dalam bidang matematik ataupun muzik saja.Dalam hal lain,mereka adalah kanak-kanak seperti budak lain,"katanya.
   Persoalannya,apakah ada sebarang petua mendapatkan anak pintar ini?Pakar motivasi terkenal,Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah, berkata ini terletak kepada usaha ibu bapa mencari dan memperbaiki kelemahan diri terlebih dulu selain mengamalkan doa dan ajaran berlandaskan al-Quran dan Sunnah.
   "Doa adalah senjata umat Islam dan sebaik kandungan mencecah empat bulan,ibu digalakkan bacaan surah al-Fatihah,ayat Kursi dan surah al-Inshirah.Bapa juga perlu mengambil tanggungjawab membaca surah berkenaan dan dihembuskan ke perut isteri.
   "Surah Fatihah adalah ibu al-Quran,ayat Kursi bertujuan menghalau gangguan syaitan manakala surah al-Inshirah untuk melapangkan hati dan fikiran.Apabila hati terang dan lapang,anak mudah menerima pelajaran.Ibu juga digalakkan membaca surah berkenaan ketika menyusukan anak dan dihembuskan di kepala.Ia boleh diteruskan sehingga anak cukup umur,"katanya.
   Katanya,satu perkara perlu diingati ibu bapa iaitu semua anak dilahirkan pintar cuma cara meransang yang membezakan impaknya.Ini wujud dalam bentuk pakej iaitu mesti membetulkan hati,otak,makanan,persekitaran dan didikan.
   Beliau menegur sikap kebanyakan ibu bapa yang tidak mempunyai misi jelas dalam usaha memulakan keluarga.
   "Semua anak dilahirkan pintar tetapi yang memberi impak ialah cara kita merangsang mereka.Bagi tujuan itu,ibu bapa mesti mempunyai misi jelas iaitu menanam tekad membentuk masa depan anak sebagai dooktor misalnya.Ibu dan bapa perlulah memupuk minat anak menjadi doktor dengan membaca buku berkaitan perubatan sejak hamil.
   "Wanita Yahudi misalnya,mendidik anak sejak dalam kandungan.Sebaik hamil,mereka akan membuat latihan matematik,mendengar muzik dan bermain muzik untuk merangsang perkembangan anak.Ia terbukti berkesan dan jangan hairan jika anak-anak Yahudi dilahirkan bijak.Kita juga boleh berbuat demikian.Malah sebagai orang Islam kita mempunyai 1,001 cara untuk membentuk anak menjadi pintar dan soleh pada masa sama."katanya.
   Dr Mohd Fadzilah berkata,dia sendiri pernah bertemu seorang wanita yang tidak pernah lalai membaca satu juzuk al-Quran setiap hari sepanjang hamil.
   "Jika dia keletihan,suaminya akan menyambung membaca dan pahala dihadiahkan kepada bayi dalam kandungan.Anak itu dilahirkan dan membesar menjadi seorang lelaki yang bijak,pintar dan tinggi akhlaknya.Ini bukti betapa ayat Quran dan doa cukup berkesan dalam usaha membentuk anak pintar.Jika tidak berkesempatan mendidik anak dari dalam perut,belum terlambat untuk berbuat demikian walaupun mereka sudah menjejak alam persekolahan,"katanya.
   Malah,baginya,antara saat paling mustajab mendidik anak ialah hypnagogic moment iaitu masa antara anak berada dalam keadaan antara sedar dan tidak ketika hendak tidur.
   "Ketika itu,mereka seolah-olah terpukau dan apa saja yang disebutkan ketika itu akan meresap masuk ke dalam hati.Rebut peluang untuk membisikkan kata-kata nasihat,pujian dan pesanan ketika mereka dalam keadaan itu dan Insya-Allah anak-anak akan menurut apa yang dikatakan.
   "Waktu lain yang turut memberi impak besar kepada usaha ibu bapa memberi didikan ialah sebelum anak-anak tidur,sedang tidur dan baru bangun tidur.Ambil masa seminit,dua untuk membacakan doa sambil mengusap kepala mereka selain memberikan nasihat,"katanya.
   Beliau turut menegur tindakan ibu bapa yang selalu terlanjur mengeluarkan perkataan negatif ketika marah.
   Kata-kata itu satu doa.Anak boleh dimarah dan kena dimarah tetapi biarlah marah itu berunsurkan positif.Jangan sesekali mengeluarkan perkataan degil atau keras kepala kepada anak.Sebaliknya jika mereka melakukan sesuatu kesilapan,katakan kepada mereka : "Kamu anak baik.Kamu anak bijak.Mengapa lakukan perkara itu,'katanya.





Info

Untuk ibu bapa

~Sebaik kandungan mencecah empat bulan,ibu digalakkan baca surah al-Fatihah,ayat Kursi dan surah al-inshirah.Surah Fatihah adalah ibu al-Quran,ayat Kursi bertujuan menghalau gangguan syaitan manakala surah al-Inshirah untuk melapangkan hati dan fikiran.
~Selepas bersalin,baca surah berkenaan ketika menyusukan anak dan dihembuskan di kepala.Ia boleh diteruskan sehingga anak cukup umur.
~Waktu ketika antara sedar dan tidak.Rebut peluang bisikkan kata-kata nasihat,pujian dan pesanan.Ambil masa seminit ,dua untuk membacakan doa sambil mengusap kepala mereka selain memberikan nasihat.
~Doakan kejayaan anak,rakan anak mereka,anak jiran dan jiran





Fakta

Rahsia pemakanan ilmuwan Islam

Madu
Madu adalah makanan yang sangat berkhasiat.Al-Quran mengiktiraf ia 'shifa' iaitu penyembuh penyakit.Madu didapati berkesan untuk merawati penyakit dan boleh menghindarkan kepenatan kerja otak seperti berfikir,membaca,merancang dan bermesyuarat.

Kismis
Mengandungi zat besi yang amat diperlukan untuk membina darah bagi memastikan bekalan oksigen yang mencukupi untuk disalurkan ke otak.Adab memakannya ialah dengan mengadap kiblat,membaca Bismillah dan selawat tiga kali diikuti doa penerang hati.

Susu segar
Susu berguna untuk kesihatan otak,mempertajamkan ingatan,membekalkan tenaga mental dan fizikal.

Telur
Bermanfaat untuk menambah kekuatan otak,badan dan menjaga kesihatan keseluruhannya.

Halia
Ia sangat mujarab untuk meghindar masalah lupa.Ia boleh dimakan mentah atau dibuat halwa.

Buah delima
Mujarab untuk penerang hati seperti sabda Nabi Muhammad SAW: "Sesiapa yang memakan buah delima keseluruhannya,sesungguhnya Allah menerangkan hatinya selama 40 hari".

Labels: , , , , ,




◄ older

newer ►